2012-03-14

Filem Bola Kampung





Siri animasi televisyen popular terbitan tempatan Animasia Studio, iaitu Bola Kampung yang telah ditayangkan di 16 buah negara bakal diangkat sebagai sebuah filem dengan meminjam 14 suara selebriti terkenal bagi mendukung watak dalam filem itu.

Antara barisan pelakon yang meminjamkan suara mereka untuk Bola Kampung The Movie adalah Aizat Amdan, Mamat (Sepah), Steven Tan, Baki Zainal, Noh (Hujan), Douglas Lim, Rahim Omar, Deanna Yusoff, Adila Shakir, Harun Salim Bachik, Harris Alif, Aznil Nawawi, Ezlynn dan Afdlin Shauki.

Bola Kampung The Movie akan menggunakan sepenuhnya Imej Janaan Komputer (CGI) dengan kos penerbitan sebanyak RM6 juta dengan menggunakan tenaga kerja tempatan sepenuhnya. Bola Kampung The Movie juga mengambil masa dua tahun sebagai persediaan itu akan menggabungkan 100 pakar tempatan dalam dunia grafik, muzik, animasi, komposer dan pelakon suara bagi menjayakannya.

Filem ini dijangka akan dipasarkan ke peringkat antarabangsa terutamanya seperti Indonesia, Singapura, Thailand, Vietnam, Filipina dan Turki yang mana siri kartun itu sangat popular. Animasia Studio juga akan melakukan promosi filem ini secara besar-besaran selain melalui peraduan menerusi talian selain memperkenalkan beberapa barangan cenderahati seperti alat tulis, patung mainan, pakaian dan sebagainya untuk penonton cilik. Filem ini dijangka akan ditayangkan pada akhir tahun ini.

SINOPSIS BOLA KAMPUNG THE MOVIE | Bola Kampung The Movie mengisahkan mengenai Amanda, seorang puteri dunia permainan maya ‘Kingdom Hill’ dihantar ke Kampung Gong Lechar untuk mencari wira legenda, ‘Suria Warrior’ yang mampu menyelamatkan negaranya daripada peperangan. Setibanya dia di kampung itu, Puteri Amanda telah hilang ingatan dan wira Bola Kampung iaitu Iwan telah menyelamatkannya dan dari situ pelbagai peristiwa menarik telah berlaku.

http://bolakampungmovie.com/index.html

No comments: